Tuesday 15 August 2017

Entri 9/30: Berpantang Tenang, Mampukah?

Teks: Hifzaila Hafni

Mampukah berpantang dengan tenang?

Jujurnya berpantang kali ini, saya hanya sekitar 70% tenang sahaja. Maklumlah, dengan dua lagi anak yang makin membesar dan lasak, tak dapat tidak bergoncang juga kesabaran dan ketenangan saya.

Saya wujudkan hashtag #berpantangtenang sebagai motivasi saya untuk lalui tempoh berpantang kali ini dengan ketenangan, setakat yang boleh. Alhamdulillah, walaupun tidaklah 100% tenang tetapi saya masih mampu mengawal emosi dan keadaan. Ada juga ketika, saya berada di luar kawalan dan naik suara dek tak tahan dengan kerenah anak-anak tapi selepas itu mula menyesal dan berjanji pada diri sendiri takkan ulangi lagi. Namun kadangkala gagal juga. Aduhai.

Pada peringkat awal ini memang agak sukar kerana anak yang baru lahir perlu difokus sepenuhnya. Namun anak-anak yang lebih tua juga perlu diberi perhatian. Diri saya sendiri juga perlu dirawat. Urusan keluarga juga perlu dilaksanakan. Jadi 24 jam yang ada sangatlah padat dan pantas berlalu. Disebabkan itulah mencabar juga untuk menenangkan diri tapi saya yakin insha Allah semuanya akan baik tak lama lagi.

Apa yang boleh dilakukan, berfikir positif dan bersyukur dengan situasi sekarang. Kerana saya tiada pembantu, jadi memang semuanya saya perlu lakukan sendiri, mujur ada sokongan suami. Jika tidak, tersungkur juga saya di tengah jalan.

Dengan adanya latihan menulis ini, dapat juga saya luahkan perasaan dan mengabadikan pengalaman berpantang kali ini untuk bacaan masa hadapan.

Semoga saya terus kuat menghabiskan hari-hari berpantang yang berbaki ini.

Insha Allah.

No comments:

Post a Comment