Tuesday 15 August 2017

Entri 6/30: Bertungku Semasa Pantang

Teks: Hifzaila Hafni

Bertungku merupakan salah satu amalan dalam pantang yang saya paling suka. Sebabnya, selepas bertungku, badan jadi ringan dan segar.

Amalan ini juga merupakan antara amalan dalam pantang yang penting dan tidak boleh diabaikan. Antara kebaikan bertungku adalah untuk mengecutkan rahim dan mengeluarkan angin dalam badan.

Pengalaman saya bertungku, saya hanya gunakan batu sungai yang saiznya sederhana besar. Batu tersebut akan dipanaskan di atas dapur dengan api kecil selama 15 ke 20 minit. Kemudian biarkan batu tersebut sejuk sebentar sebelum dibungkus dengan kain.

Kain yang mengalas dan membungkus batu harus tebal sedikit dan lazimnya mak mentua saya gunakan kain batik yang sudah lama atau lusuh, boleh juga guna kemeja t yang tidak lagi dipakai. Gunting kain alas tadi berbentuk segiempat untuk mudah membungkus batu.

Sebelum meletakkan batu di atas kain, alas kain dengan daun-daun herba untuk beri bau yang harum. Dulunya saya gunakan daun mengkudu. Kemudian letakkan batu di atas daun tadi dan dipunjutkan kain alas tersebut. Seterusnya ikat dengan kemas.

Sebelum mula bertungku, cuba dulu letak perlahan-lahan tungku tadi pada perut untuk uji kepanasannya. Jika selesa dengan kepanasan tu, baru teruskan. Kalau rasa terlalu panas, biarkan sebentar baru mula semula.

Boleh tungku terus pada kulit tubuh atau lapik dengan kain batik.

Tekan tungku pada bahagian badan seperti sekitar ari-ari, bawah abdomen hingga haba meresap ke dalam. Tuam beberapa kali hingga rasa selesa. Teruskan tuam ke seluruh bahagian badan yang lain.

Selesai bertungku, bolehlah menyapu minyak panas atau param ke seluruh badan dan pakai stoking.

Sekarang ni, tungku sudah ada yang siap dipunjut dan dibungkus bersama daun-daun herba. Ada juga yang hanya perlu distim. Juga ada pilihan batu tungku leper beserta sarung. Pilihlah mana yang kita suka.

No comments:

Post a Comment