Tuesday 15 August 2017

Entri 10/30: Menu Pantang di Rumah Mentua

Teks: Hifzaila Hafni

Saya berpantang di rumah mentua lebih kurang 3 minggu. Selepas rasa semakin sihat dan mampu urus diri dan anak-anak, kami balik ke rumah. Lagipun kasihankan suami perlu ulang-alik tempat kerja ke rumah mak. Jauh juga.

Selama saya berpantang di rumah mak, mak yang memasak lauk pantang saya. Ada juga yang dimasak oleh adik atau kakak ipar. Yang saya masak sendiri pun ada, bila mana mak tak sempat nak masak. Saya buat yang mudah-mudah sahaja.

Antara menu pantang yang mak/adik ipar/ biras saya masakkan untuk saya sepanjang berpantang di sana kali ini:

- Tenggiri rendang asam
- Sup sawi
- Ungkep daging
- Sup ayam
- Peria katak masak taucu
- Sawi goreng
- Ikan bilis goreng, halia dan lada hitam
- Ayam masak kicap
- Pindang ikan senangin
- Bawal kukus

Ada antara menu yang diulang. Yang paling saya suka rendang asam. Mak masak memang sedap. Kalau ada lobak putih, biasanya mak masukkan sekali dalam tu. Jadi, tak perlu nak masakkan sayur lagi. Begitu juga dengan pindang.

Alhamdulillah, mak masih boleh siapkan makanan walaupun mak tidak begitu sihat. Saya bersyukur sebab masih boleh menumpang di rumah mak sewaktu di awal pantang. Semoga mak dikurniakan nikmat kesihatan yang baik. Insha Allah.

Teringat dulu masa berpantang anak sulung. Saya memang berpantang dengan mak mentua sebab mak saya dah tak ada. Jadinya pada mak mentua saya lah saya harap sangat dapat jaga saya dalam pantang.

Alhamdulillah waktu tu, mak masih kuat dan cergas. Dan masa tu anak sulung saya merupakan cucu ketiga mereka setelah cucu pertama dan kedua lahir 4 tahun sebelum itu. Jadi, kehadiran anak sulung saya agak mengujakan dan menceriakan seisi keluarga.

Waktu itu juga adik-adik ipar saya masih belum berkahwin dan tinggal bersama, jadi di rumah sentiasa ada orang untuk membantu mak sambil jaga saya dalam pantang.

Masa tu, waktu makan saya memang on time. Dan saya sangat enjoy dengan makanan pantang saya tak kiralah apa juga yang mak masak. Mungkin juga teruja sebab dapat makan makanan rumah yakni masakan seorang mak. Minum pagi atau petang pun kadangkala adik-adik ipar rajin tolong buatkan. Memang sangat membantu saya melalui tempoh pantang yang agak mencabar kerana luka jahitan yang agak besar membataskan pergerakan.

Pantang waktu tu, mak selalu buat pindang. Walaupun pindang, yang masakannya mudah sahaja, tapi pindang air tangan mak memang sedap. Saya paling ingat pindang sebab mak selalu buat.

Lagi satu, sewaktu pantang inilah saya kenal ikan kurau kering, yang mana abah mentua carikan di pasar Banting sebab bukan mudah nak dapat. Ikan kurau kering ni, kalau nak tahu, agak sukar nak dapat dan agak mahal juga. Tapi ibu berpantang boleh makan sebab tak gatal. Abah juga tolong bakarkan, dan memang sedap. Selain tu, dibelikan juga longan kering. Rebus dan minum suam-suam. Sangat menyegarkan dan bantu banyakkan susu badan. Sekarang ni, harga longan kering ni boleh tahan juga mahalnya.

Begitulah bila berpantang dijaga oleh orang tua. Banyak yang kita dapat belajar daripada pengalaman mereka.

No comments:

Post a Comment