Tuesday 15 August 2017

Entri 11/30: Bila Anak Kuning (Jaundis)

Teks: Hifzaila Hafni

"Ni macam ada kuning sikit ni Puan. Nanti gi klinik ye, ambik darah tengok kuning dia berapa" kata nurse waktu datang buat lawatan di rumah.

Hari itu hari ketiga. Hari Sabtu.

Klinik Kesihatan Salak tutup. Jadi kena ke KK Putrajaya yang buka separuh hari. Waktu itu pukul 9, jadi lepas siap-siap, terus ke sana.

Ramai juga orang tapi alhamdulillah urusan agak mudah cuma kami tak terbiasa dengan segalanya elektronik. Setiap kertas yang bercetak nombor giliran disertakan kod bar, jadi untuk setiap urusan, ke makmal, jumpa doktor semuanya hanya perlu skan. Berbeza dengan di KK yang biasa kami pergi sebelum ini, perlu melalui nurse dan mengambil masa sedikit.

Memang anak ada kuning sedikit dan bermulalah episod ulang alik ke klinik dan kaki anak kena cucuk untuk diambil sampel. Memang kesian pada anak tapi untuk kesihatannya, terpaksalah hadapi.

Anak saya mengalami jaundis yang agak lama, hampir 21 hari. Hampir saja didiagnos prolonged jaundice tapi alhamdulillah bacaan akhir menunjukkan anak bebas jaundis. Bacaan yang normal adalah di bawah 100.

Dalam tempoh itu, berhempas pulas juga saya menyusukan anak. Kadang-kadang tak tunggu 2 jam sekali, sejam atau setengah jam sekali saya paksa dia menyusu. Memang rutin tidur dah ke laut dan rasa amat letih dan lesu. Tapi digagahkan juga kerana saya perlu pastikan saya cukup susu badan untuk keperluan anak. Anak jaundis perlu menyusu sekerap mungkin supaya lebih cepat kuningnya turun bila kerap berak dan kencing.

Sedikit panduan atau peringatan daripada nurse di KK yang saya boleh kongsikan ketika anak jaundis:

1. Ibu tangguhkan dulu makan jamu. Kandungan herba dalam jamu dikhuatiri boleh tingkatkan kuning pada anak.

2. Ibu elak minum susu kambing. Saya kurang pasti kebenarannya tapi saya tinggalkan sekejap, walaupun ketika dalam pantang saya suka minum susu kambing suam.

3. Kebiasaannya ibu juga kena pantang makan kunyit dan halia.

4. Elak beri apa-apa makanan pada anak. Ada sebilangan orang lama akan nasihatkan bagi anak jaundis minum susu kambing, air buah anggur hitam dan macam-macam lagi. Apa saja makanan, ibu yang perlu makan dan zat itu nanti akan disalur pada anak melalui susu ibu.

5. Tak perlu mandikan anak dengan apa-apa mandian herba. Mandi seperti biasa sahaja.

Fokus saya bila anak jaundis, hanyalah untuk banyakkan susu badan dan menyusu anak dengan kerap. Pengalaman 3 anak jaundis memang beri kesan juga. Anak pertama kena tahan di wad dan diletak bawah lampu. Anak kedua alhamdulillah jaundisnya sekejap saja dah turun. Yang ketiga, hampir prolonged jaundice.

Apapun, ikut saja nasihat doktor dan nurse. Pergi ke KK mengikut tarikh yang ditetapkan. Bukan apa, jaundis ni boleh beri kesan pada otak jika tak dipantau rapi. Dan jangan percaya pada mata kasar kita orang kebanyakan ni, kita tak nampak kuning tapi bila check darah, tinggi kuning anak. Yang check dengan mata kasar ni hanya ahli perubatan yang pakar dan berpengalaman sahaja.

Ibu juga kena jaga kesihatan, minum air secukupnya dan makan makanan berkhasiat.

No comments:

Post a Comment