Thursday 17 August 2017

Entri 16/30: Penjagaan Luaran Badan Semasa Pantang

Teks: Hifzaila Hafni

Masa dalam pantang, saya tak ambil jamu atau apa-apa herba sebab anak kuning. Tangguh tangguh terus tak ambik. Tengok akar kayu yang dibeli, rasa tak sanggup pula nak minum! Haha tak cukup kuat nak telan.

Tapi saya cuba pastikan penjagaan diri dari segi luaran. Sekurang-kurangnya dapat segarkan diri.

Minyak panas
Saya gunakan minyak berubat Afiat. Tak panas sangat, tapi aroma dia sedap. Bila sapu pun selesa cepat menyerap. Sapu satu badan. Ganti param pilis sebab tak sempat nak sediakan. Saya tumpu sapu pada tapak kaki.

Stokin
Pakai stokin bola pun ok sebab tebal sikit. Saya pakai stokin tak ada masalah, saya lagi selesa.

Krim perut
Saya guna krim panas dengan pati limau nipis, tak ingat jenama apa. Sedap juga pakai rasa panas berangin. Sapu kemudian pakai bengkung.

Feminine wash
Saya gunakan jenama Afiat. Baunya sedap, bau tea tree. Dan selesa pakai.

Mandian herba
Masa pantang anak kedua, tukang urut sediakan daun-daun herba untuk mandian. Bolehlah guna untuk 4-5 kali mandi. Yang ketiga, saya guna gel mandian serai jenama Afiat. Harum sungguh baunya! Dan sangat menyegarkan. Cuma botolnya agak kecil, tak cukup. Haha

Entri 15/30: Urutan Selepas Bersalin

Teks: Hifzaila Hafni

Salah satu amalan penting dalam pantang adalah urut. Sebab tu, ada yang dah booking tukang urut bersalin awal-awal lagi, dan ada juga yang dah siapkan sejak awal bajet untuk tukang urut yang biasanya didatangkan dengan pakej penjagaan sekali.

Saya, 3 kali bersalin, 3 kali pengalaman berbeza, 3 tukang urut. Hehe

Saya kongsikan pengalaman urut saya semasa pantang.

Tukang urut 1

Tukang urut terbaik setakat ini. Urutan Wak ini paling sedap dan selesa bagi saya. Maklumlah orang lama. Memang sanggup ke rumahnya berurut 3 kali, sebab dia tiada kenderaan untuk datang ke rumah saya. Wak ini juga mahir ikat bengkung lilit Jawa. Kalau nak urut budak pun selalu kami bawa pada Wak ni. Cuma sekarang, dah meningkat usia dia taklah sekuat dulu.

Tukang urut 2

Yang ni saya panggil kakak. Dia boleh datang ke rumah. Yang ni dicadangkan oleh jiran yang biasa dapatkan khidmatnya. Kakak ni datang 3 hari berturut-turut ke rumah. Siap dengan daun-daun untuk mandian. Nak mandi baby pun boleh. Nak ikat bengkung pun boleh. Kakak ni akan urut, siap dengan tungku sekali. Dia guna tungku bola besi. Ok juga servisnya, orangnya ramah. Biasanya dia akan spend dalam 2 jam.

Tukang urut 3

Saya sebenarnya mahu khidmat Wak urut pertama tapi Allah tak izinkan. Rumahnya dilanda banjir dan tenggelam keseluruhannya sebab lokasi rumahnya tu rendah. Dek rumahnya dalam keadaan begitu, takkan nak pergi mengurut pula. Saya contact kakak urut kedua, tak berjawab pula. Hal ini berlanjutan hingga saya dah balik ke rumah hampir seminggu. Aduh, betapa tak selesa badan tak diurut. Mana dengan bajet lagi. Kesudahannya, saya search spa berdekatan yang ada tawarkan urutan lepas bersalin. Alhamdulillah ada slot kosong pada tarikh dan waktu yang saya nak tapi saya perlu ke premisnya. Kena naik tangga pula huhu sebab spa di tingkat 1. Berangkut kami anak beranak ke sana. Sebab baby kena ikut, untuk menyusu. Anak-anak lain memang nak ikut bila nampak abah ummi keluar.

Alhamdulillah urutannya ok. Kali ini adik urut pula! Peramah juga. Siap bertungku. Batu tungkunya panjang dan berat, memang sedap sangat terasa panas tembus ke dalam.

Sebab kekangan bajet dan masa, saya hanya pergi sekali sahaja. Cukuplah daripada tak diurut langsung.

Ibu pantang, sebolehnya mengurut ye sekali pun tak apa kalau tak sempat sangat. Tukang urut akan betulkan urat-urat, keluarkan angin dan segarkan badan. Baru rasa selesa, susu badan makin lancar.

Wednesday 16 August 2017

Entri 14/30: Vitamin untuk Ibu Pantang

Teks: Hifzaila Hafni

Masa pantang, saya sebolehnya cuba untuk tidak tinggalkan segala vitamin yang dibekalkan oleh hospital dan yang dibeli sendiri. Bukan apa, faham keadaan diri sendiri yang tak cukup zat dek kekalutan masa dalam pantang.

Jadi sangat penting saya top up dengan beberapa jenis vitamin dalam bentuk suplemen untuk pastikan saya terus bertenaga dan sihat.

Biasanya, balik dari hospital, ibu akan dibekalkan dengan pil hematinik (obimin), iron tablet (zat besi, ubat tambah darah orang kata), asid folik - seingat saya. Tapi taklah banyak, untuk tempoh 2 minggu ke 4 minggu saya dah tak ingat. Tapi bolehlah nak bantu kesihatan ibu, lepas dah habis tu boleh je beli sendiri.

Dalam pantang dan menyusu, saya biasa ambil multivitamin dengan zat besi, vitamin B kompleks, vitamin C dan tablet kalsium-magnesium. Ni kira yang paling asas lah. Kalau tak pun, multivitamin saja pun ok sebab dah merangkumi semua vitamin yang diperlukan.

Kalau saya ada bajet lebih, saya ambil kapsul minyak ikan. Tapi kalau tak, makan la ikan kerap sikit. Hehe

Vitamin semua ni, bukan apa. Kadang mak-mak dalam pantang ni, makan pun tak teratur. Dan bila menyusu tu memang cepat lapar asyik nak makan. Badan pun nak kena cukup zat untuk hasilkan susu badan yang cukup dan berkualiti. Tapi dah kalau makan tak sempat, tidur pun tak cukup, kadang tu sebab dah letih lesu sangat nak makan pun dah tak selera. Jadi dari mana tenaga dan nutrien nak datang?

Bila dalam keadaan macam nilah kena top up vitamin tu. Sekurang-kurangnya cergas sikit. Insya Allah. Tapi makan tetap kena makan. Suplemen vitamin sebagai pelengkap sahaja.

Entri 13/30: Makanan yang Perlu Dielakkan Semasa Pantang

Teks: Hifzaila Hafni

Dah namanya pun pantang, jadinya banyak perkara yang ibu dalam pantang kena 'pantang'. Terutamanya bab makanan.

Tapi tidaklah bermakna itu tak boleh makan, ini tak boleh makan. Perlu berpada dan memilih sikit untuk tubuh cepat pulih dan sihat. Itupun bergantung juga pada ibu. Ada yang sesuai tapi tidak pada ibu lain. Jadi kena hati-hati.

Apa yang ibu TAK BOLEH makan semasa pantang?

1. Sayuran berkacang. Contohnya kacang panjang dan buncis. Boleh sebabkan angin.

2. Santan. Di hari-hari awal pantang. Masuk minggu kedua atau ketiga biasanya boleh. Tapi bersederhanalah.

3. Ikan berbisa. Contohnya sembilang dan keli.

4. Telur. Bergantung pada ibu. Ada yang gatal. Tapi kalau tak gatal, bolehla makan.

5. Makanan laut. Contoh udang, sotong, ketam, tiram. Boleh sebabkan gatal terutama pada luka yang baru nak sembuh. Dan perlu terus pantang hingga anak dah besar sikit dalam 6 bulan begitu. Sebab gatal boleh kena pada anak juga.

6. Air berais. Tubuh ibu dalam pantang, sejuk. Jadi minuman berais sangat tak digalakkan. Saya lepas pantang pun tak tahan dengan air berais, rasa bisa-bisa badan. Sikit-sikit bolehlah.

7. Teh. Boleh sebabkan angin.

Kenapa kebanyakan makanan berangin kena elakkan?

Sebab lepas bersalin, badan ibu mudah masuk angin. Dan sebenarnya dalam pantang tulah proses nak buang angin yang ada. Dan kalau ibu pun berangin, nanti anak yang menyusu boleh kembung. Kesan akibat angin ni amatlah perit. Boleh sakit kepala. Anak pula tak boleh tidur dan tak selesa.

Inilah antaranya yang saya dapat kongsi berdasarkan pengalaman saya. Selebihnya seperti makanan segera, berlemak dan berminyak (yang berlebihan) perlu juga elakkan. Diet ibu pantang sama saja macam diet sihat seimbang seperti yang disarankan oleh KKM.

Cuma satu yang perlu diambil perhatian, apa yang ibu makan, akan dapat pada anak, asbab menyusu. Jadi kena hati-hati ya. Begitu juga dengan jamu, herba atau ubat-ubatan. Kalau tak pasti, lebih baik tangguhkan atau tanya pada mereka yang ahli.

Entri 12/30: Lawatan Jururawat dalam Pantang

Teks: Hifzaila Hafni

Sejak anak pertama lagi, saya sudah terima lawatan jururawat (misi) ke rumah.  Pada saya, memang sangat membantu dan saya pun banyak belajar daripada mereka juga.

Walaupun ada yang kurang senang atau tak selesa misi datang bertandang, tapi percayalah kedatangan mereka sangat bermakna kepada kesihatan ibu dan anak. Apalagi dalam keadaan berpantang dan baru saja melahirkan, memang kita belum kuat dan perlukan bantuan.

Salah satu bantuan dari KKM inilah dia, lawatan misi semasa pantang.

Jangan risau, misi bukannya kisah pun kita dah mandi ke belum, rumah bersepah  ke. Misi datang nak check ibu dan anak saja. Itu pun kalau tiada masalah, sekejap saja.

Macamana nak minta misi datang rumah buat lawatan?

Sejurus selepas balik dari hospital, dah ada di rumah, secepat mungkin maklumkan pada KK yang terdekat. Pergi lapor hujung minggu pun boleh, kena check dengan KK tu lah. Masa anak ketiga ni, suami lapor hari Sabtu sebab sampai rumah Jumaat dah lewat petang sangat. Lepas KK dah dapat laporan, misi yang bertugas akan arrange waktu lawatan. Biasanya pagi hingga paling lewat dalam pukul 1 petang gitulah.

Apa yang misi check masa lawatan?

Misi akan check ibu dan anak. Ibu akan diperiksa tekanan darah, luka jahitan atau pembedahan, kaki bengkak atau tidak, ada apa-apa masalah penyusuan tak.

Untuk anak, misi akan timbang berat, tengok tali pusat, check kuning. Misi yang senior biasa tengok baby dia dah tahu ada kuning atau tak. Kalau ada kuning, ibu bapa dinasihatkan ke KK secepat mungkin untuk ambil darah.

Berapa orang misi datang setiap kali lawatan?

Biasanya 2 orang. Pernah sekali masa saya pantang anak kedua, misi datang dengan doktor pelatih. Misi akan minta izin kita untuk libatkan doktor tu dalam pemeriksaan kita. Tujuan pun untuk belajar. Saya ok je.

Berapa kali misi akan buat lawatan?

Pada hari 1-7 misi akan datang setiap hari. Lepas tu hari ke 10, 14 dan 20.

Pada saya, usah kita anggap kedatangan mereka mengganggu kita. Lawatan tu adalah sebahagian daripada tugas mereka dan jika kita tak mahu atau kurang senang dengan kehadiran mereka, boleh menolak dengan baik. Sudahlah servisnya percuma dan hujung minggu pun misi kena datang juga. Termasuklah hari raya dan sebagainya.

Setakat ini, saya puas hati dengan servis lawatan daripada misi KK KLIA dan KK Salak. Memang mesra dan peramah. Disebabkan mereka juga, anak-anak saya dapat detect kuning lebih awal dan dapat rawatan lanjut.

Terima kasih misi!

Tuesday 15 August 2017

Entri 11/30: Bila Anak Kuning (Jaundis)

Teks: Hifzaila Hafni

"Ni macam ada kuning sikit ni Puan. Nanti gi klinik ye, ambik darah tengok kuning dia berapa" kata nurse waktu datang buat lawatan di rumah.

Hari itu hari ketiga. Hari Sabtu.

Klinik Kesihatan Salak tutup. Jadi kena ke KK Putrajaya yang buka separuh hari. Waktu itu pukul 9, jadi lepas siap-siap, terus ke sana.

Ramai juga orang tapi alhamdulillah urusan agak mudah cuma kami tak terbiasa dengan segalanya elektronik. Setiap kertas yang bercetak nombor giliran disertakan kod bar, jadi untuk setiap urusan, ke makmal, jumpa doktor semuanya hanya perlu skan. Berbeza dengan di KK yang biasa kami pergi sebelum ini, perlu melalui nurse dan mengambil masa sedikit.

Memang anak ada kuning sedikit dan bermulalah episod ulang alik ke klinik dan kaki anak kena cucuk untuk diambil sampel. Memang kesian pada anak tapi untuk kesihatannya, terpaksalah hadapi.

Anak saya mengalami jaundis yang agak lama, hampir 21 hari. Hampir saja didiagnos prolonged jaundice tapi alhamdulillah bacaan akhir menunjukkan anak bebas jaundis. Bacaan yang normal adalah di bawah 100.

Dalam tempoh itu, berhempas pulas juga saya menyusukan anak. Kadang-kadang tak tunggu 2 jam sekali, sejam atau setengah jam sekali saya paksa dia menyusu. Memang rutin tidur dah ke laut dan rasa amat letih dan lesu. Tapi digagahkan juga kerana saya perlu pastikan saya cukup susu badan untuk keperluan anak. Anak jaundis perlu menyusu sekerap mungkin supaya lebih cepat kuningnya turun bila kerap berak dan kencing.

Sedikit panduan atau peringatan daripada nurse di KK yang saya boleh kongsikan ketika anak jaundis:

1. Ibu tangguhkan dulu makan jamu. Kandungan herba dalam jamu dikhuatiri boleh tingkatkan kuning pada anak.

2. Ibu elak minum susu kambing. Saya kurang pasti kebenarannya tapi saya tinggalkan sekejap, walaupun ketika dalam pantang saya suka minum susu kambing suam.

3. Kebiasaannya ibu juga kena pantang makan kunyit dan halia.

4. Elak beri apa-apa makanan pada anak. Ada sebilangan orang lama akan nasihatkan bagi anak jaundis minum susu kambing, air buah anggur hitam dan macam-macam lagi. Apa saja makanan, ibu yang perlu makan dan zat itu nanti akan disalur pada anak melalui susu ibu.

5. Tak perlu mandikan anak dengan apa-apa mandian herba. Mandi seperti biasa sahaja.

Fokus saya bila anak jaundis, hanyalah untuk banyakkan susu badan dan menyusu anak dengan kerap. Pengalaman 3 anak jaundis memang beri kesan juga. Anak pertama kena tahan di wad dan diletak bawah lampu. Anak kedua alhamdulillah jaundisnya sekejap saja dah turun. Yang ketiga, hampir prolonged jaundice.

Apapun, ikut saja nasihat doktor dan nurse. Pergi ke KK mengikut tarikh yang ditetapkan. Bukan apa, jaundis ni boleh beri kesan pada otak jika tak dipantau rapi. Dan jangan percaya pada mata kasar kita orang kebanyakan ni, kita tak nampak kuning tapi bila check darah, tinggi kuning anak. Yang check dengan mata kasar ni hanya ahli perubatan yang pakar dan berpengalaman sahaja.

Ibu juga kena jaga kesihatan, minum air secukupnya dan makan makanan berkhasiat.

Entri 10/30: Menu Pantang di Rumah Mentua

Teks: Hifzaila Hafni

Saya berpantang di rumah mentua lebih kurang 3 minggu. Selepas rasa semakin sihat dan mampu urus diri dan anak-anak, kami balik ke rumah. Lagipun kasihankan suami perlu ulang-alik tempat kerja ke rumah mak. Jauh juga.

Selama saya berpantang di rumah mak, mak yang memasak lauk pantang saya. Ada juga yang dimasak oleh adik atau kakak ipar. Yang saya masak sendiri pun ada, bila mana mak tak sempat nak masak. Saya buat yang mudah-mudah sahaja.

Antara menu pantang yang mak/adik ipar/ biras saya masakkan untuk saya sepanjang berpantang di sana kali ini:

- Tenggiri rendang asam
- Sup sawi
- Ungkep daging
- Sup ayam
- Peria katak masak taucu
- Sawi goreng
- Ikan bilis goreng, halia dan lada hitam
- Ayam masak kicap
- Pindang ikan senangin
- Bawal kukus

Ada antara menu yang diulang. Yang paling saya suka rendang asam. Mak masak memang sedap. Kalau ada lobak putih, biasanya mak masukkan sekali dalam tu. Jadi, tak perlu nak masakkan sayur lagi. Begitu juga dengan pindang.

Alhamdulillah, mak masih boleh siapkan makanan walaupun mak tidak begitu sihat. Saya bersyukur sebab masih boleh menumpang di rumah mak sewaktu di awal pantang. Semoga mak dikurniakan nikmat kesihatan yang baik. Insha Allah.

Teringat dulu masa berpantang anak sulung. Saya memang berpantang dengan mak mentua sebab mak saya dah tak ada. Jadinya pada mak mentua saya lah saya harap sangat dapat jaga saya dalam pantang.

Alhamdulillah waktu tu, mak masih kuat dan cergas. Dan masa tu anak sulung saya merupakan cucu ketiga mereka setelah cucu pertama dan kedua lahir 4 tahun sebelum itu. Jadi, kehadiran anak sulung saya agak mengujakan dan menceriakan seisi keluarga.

Waktu itu juga adik-adik ipar saya masih belum berkahwin dan tinggal bersama, jadi di rumah sentiasa ada orang untuk membantu mak sambil jaga saya dalam pantang.

Masa tu, waktu makan saya memang on time. Dan saya sangat enjoy dengan makanan pantang saya tak kiralah apa juga yang mak masak. Mungkin juga teruja sebab dapat makan makanan rumah yakni masakan seorang mak. Minum pagi atau petang pun kadangkala adik-adik ipar rajin tolong buatkan. Memang sangat membantu saya melalui tempoh pantang yang agak mencabar kerana luka jahitan yang agak besar membataskan pergerakan.

Pantang waktu tu, mak selalu buat pindang. Walaupun pindang, yang masakannya mudah sahaja, tapi pindang air tangan mak memang sedap. Saya paling ingat pindang sebab mak selalu buat.

Lagi satu, sewaktu pantang inilah saya kenal ikan kurau kering, yang mana abah mentua carikan di pasar Banting sebab bukan mudah nak dapat. Ikan kurau kering ni, kalau nak tahu, agak sukar nak dapat dan agak mahal juga. Tapi ibu berpantang boleh makan sebab tak gatal. Abah juga tolong bakarkan, dan memang sedap. Selain tu, dibelikan juga longan kering. Rebus dan minum suam-suam. Sangat menyegarkan dan bantu banyakkan susu badan. Sekarang ni, harga longan kering ni boleh tahan juga mahalnya.

Begitulah bila berpantang dijaga oleh orang tua. Banyak yang kita dapat belajar daripada pengalaman mereka.

Entri 9/30: Berpantang Tenang, Mampukah?

Teks: Hifzaila Hafni

Mampukah berpantang dengan tenang?

Jujurnya berpantang kali ini, saya hanya sekitar 70% tenang sahaja. Maklumlah, dengan dua lagi anak yang makin membesar dan lasak, tak dapat tidak bergoncang juga kesabaran dan ketenangan saya.

Saya wujudkan hashtag #berpantangtenang sebagai motivasi saya untuk lalui tempoh berpantang kali ini dengan ketenangan, setakat yang boleh. Alhamdulillah, walaupun tidaklah 100% tenang tetapi saya masih mampu mengawal emosi dan keadaan. Ada juga ketika, saya berada di luar kawalan dan naik suara dek tak tahan dengan kerenah anak-anak tapi selepas itu mula menyesal dan berjanji pada diri sendiri takkan ulangi lagi. Namun kadangkala gagal juga. Aduhai.

Pada peringkat awal ini memang agak sukar kerana anak yang baru lahir perlu difokus sepenuhnya. Namun anak-anak yang lebih tua juga perlu diberi perhatian. Diri saya sendiri juga perlu dirawat. Urusan keluarga juga perlu dilaksanakan. Jadi 24 jam yang ada sangatlah padat dan pantas berlalu. Disebabkan itulah mencabar juga untuk menenangkan diri tapi saya yakin insha Allah semuanya akan baik tak lama lagi.

Apa yang boleh dilakukan, berfikir positif dan bersyukur dengan situasi sekarang. Kerana saya tiada pembantu, jadi memang semuanya saya perlu lakukan sendiri, mujur ada sokongan suami. Jika tidak, tersungkur juga saya di tengah jalan.

Dengan adanya latihan menulis ini, dapat juga saya luahkan perasaan dan mengabadikan pengalaman berpantang kali ini untuk bacaan masa hadapan.

Semoga saya terus kuat menghabiskan hari-hari berpantang yang berbaki ini.

Insha Allah.

Entri 8/30: Tandem Nursing

Teks: Hifzaila Hafni

Tandem nursing merupakan amalan menyusukan bayi yang baru lahir dan anak yang lebih tua dalam masa yang sama (serentak).

Sumber: Motherlove

Saya melakukan tandem nursing kerana anak ketiga dilahirkan semasa anak kedua berumur 1 tahun 9 bulan. Berbaki 3 bulan untuk lengkapkan penyusuan 2 tahun, saya teruskan sahaja biarpun sangat mencabar.

Cabaran terbesar bila mana kedua-duanya mahu menyusu pada masa yang sama. Sampaikan saya terpaksa belajar untuk menyusu mereka serentak. Memang sangat kekok pada mulanya tapi sekurang-kurangnya kedua-duanya puas hati dan berhenti menangis.

Orang-orang tua selalunya akan nasihatkan berhenti menyusu jika mengandung. Tapi bila saya buat sedikit pembacaan, selagi ibu berasa sihat, tiada risiko rahim lemah atau yakin boleh teruskan penyusuan sepanjang mengandung, boleh teruskan sahaja.

Alhamdulillah semuanya ok hingga saat melahirkan, cuma kurang selesa disebabkan perut yang makin membesar.

Bila dah melahirkan pula, sekali lagi orang-orang tua akan nasihatkan supaya berhenti menyusukan anak yang lebih tua. Kerana bimbang adiknya 'tak cukup susu'.

Saya juga sudah membuat sedikit pembacaan tentang ini, dan sebenarnya tidak akan timbul isu tak cukup susu malahan penghasilan susu akan menjadi lebih banyak kerana supply and demand yang tinggi (maklumlah dua orang menyusu pada suatu masa). Payudara juga kurang bengkak atau berlaku bengkak susu kerana penyusuan berlaku dengan kerap. Jika adiknya sudah kenyang, biasanya bayi kecil menyusu dalam kuantiti sedikit sahaja, jadi abangnya pula yang akan sambung menyusu. Biasanya payudara memang terus kosong sebab anak yang lebih besar lebih kuat menyusu. Bila payudara sering mengosong, akan lebih banyak susu terhasil.

Berpegang kepada itulah, saya yakin untuk teruskan tandem nursing ini kerana bukan sahaja menguntungkan saya malahan anak-anak saya juga mendapat kebaikan yang sama.
Jadi sepatutnya tidak timbul isu tak cukup susu untuk anak yang baru lahir. Insha Allah ada rezeki masing-masing.

Yang penting, ibu kena cukup zat untuk tampung keperluan menyusu. Ibu harus makan lebih sedikit dari biasa dan perlu pastikan banyak minum air. Selain perlu amalkan pemakanan seimbang, perlu juga mengambil suplemen untuk menampung mana-mana zat yang kurang. Demi kesihatan ibu dan 2 anak yang masih menyusu.

Wallahua'lam.

Entri 7/30: Jenis Bengkung Bersalin

Teks: Hifzaila Hafni

Berbengkung, amalan penting semasa berpantang. Dengan berbengkung, dapat mengempiskan perut, mengembalikan bentuk tubuh yang asal dan juga elak perut menggeleber.

Bagi ibu yang bersalin normal, boleh mula berbengkung dalam minggu pertama pantang, namun bagi ibu yang bersalin pembedahan, perlu tangguhkan seketika pemakaian bengkung supaya luka sembuh sepenuhnya atau boleh pilih bengkung yang sesuai untuk ibu yang bersalin pembedahan.

Berdasarkan pengalaman saya dengan bengkung dalam pantang, pada saya bengkung tradisional yang menggunakan kain panjang itu tetap yang terbaik. Malangnya saya hanya sempat merasainya sekali sahaja.

Di sini saya kongsikan pengalaman saya berbengkung dalam 3 kali berpantang dengan menggunakan pelbagai jenis bengkung.

1. BENGKUNG TRADISIONAL


Paling berkesan mengempiskan perut jika dipakai dengan betul. Sebaiknya dililit dan dipakaikan oleh orang lain yang pandai. Nak melilit dan mengikat bengkung jenis ini perlukan kemahiran dan kekuatan tangan.

Orang dulu-dulu kebanyakannya pandai. Lilitan perlu kemas dan kejab untuk hasil yang memuaskan.

Saya pakai bengkung lilit jawa hampir setiap hari sepanjang berpantang anak sulung. Mak mentua pandai melilit dan pakaikan. Pergi mengurut, tukang urut tu yang pakaikan bengkung. Memang selesa jika dipakaikan oleh orang yang berpengalaman.

Kini agak sukar nak istiqamah pakai bengkung begini sebab tak boleh pakai sendiri tanpa bantuan orang lain dan mengambil masa yang lama untuk dipakai. Jadi, bengkung tradisional kurang jadi pilihan saya melainkan yang telah dimudahkan fungsinya dan dimodenkan.

Sedikit info sebelum berbengkung: sapu krim tapel atau losyen panas pada perut, kemudian lilit perut dengan kain alas contohnya kain batik. Kemudian baru pakai bengkung.

Pemakaian kain alas bertujuan untuk serapan losyen yang lebih berkesan dan untuk elak bengkung kotor terkena krim atau losyen.

2. BENGKUNG TALI ZIG ZAG


Saya pilih bengkung ini masa berpantang anak kedua. Sebab masih ingin kekalkan penggunaan bengkung tradisional, saya pilih jenis ini sebab bentuknya seakan sama cuma telah dimudahkan fungsinya.

Namun malangnya tidak berfungsi sebagaimana yang saya sangkakan. Bukan bermakna bengkung ini 'failed' tetapi mungkin lebih kepada kurang sesuai untuk saya.

Saya dapati bengkungnya pendek sedikit dan tali yang disediakan agak pendek. Saya cuma berjaya pakai bengkung ini dengan selesa cuma sekali sahaja, dengan bantuan tukang urut.

Itupun dia terpaksa menyambung tali tambahan kerana tali yang disediakan tidak cukup panjang. Mungkin sesuai untuk ibu yang bertubuh kecil. Yang saiz macam saya ni macam tak muat.

Bengkung ini kesudahannya terbiar sahaja. Jenama Jamu Jelita, harga dalam lingkungan RM30-40.

3. KORSET


Salah satu alternatif kepada bengkung adalah korset. Saya beli sehelai masa berpantang anak kedua. Jadinya saya beli bengkung dan korset masa berpantang kali kedua. Saya beli korset langsing berherba jenama Jamu Jelita.

Saya agak suka dan selesa memakai korset ini cuma materialnya terlalu elastik dan memeri bagi saya. Sepatutnya korset membentuk tubuh kan, tetapi materialnya sebegini menyebabkan tubuh kita pula yang 'membentuk' dia. Tapi untuk sokongan payudara dan pinggul agak bagus juga. Cuma failed' untuk membentuk perut. Saya pakai lama juga korset ini. Sampai lepas pantang pun sambung pakai sebab suka.

Harga sehelai masa saya beli dulu dalam RM30 ke RM40.

4. MAXI PANTY

Saya gunakan masa berpantang anak ketiga. Saya beli yang jenis tebal sikit.

Mengikut pesan tukang urut, katanya, kalau tak berbengkung pun sekurang-kurangnya pakai maxi panty, untuk bantu kempiskan perut. Walaupun kesannya tidaklah begitu ketara, sekurang-kurangnya dapat menampung perut yang masih belum kempis sepenuhnya.

Jadi saya pun sediakan lah dan ok juga bila memakainya. Taklah terasa perut tu tergantung-gantung dan menggeleber sangat.
Kalau ada bajet lebih, boleh beli yang berjenama. Tapi yang biasa pun saya rasa ok saja. Sehelai dalam RM30 saya beli di Mydin.

5. BENGKUNG MODEN 3 DALAM 1


Juga saya guna semasa pantang anak ketiga. Saya mulanya mahu membeli tapi sepupu bermurah hati pinjamkan.
Nak pakai mudah dan tak ambil banyak masa. Dengan 3 keping bengkung, pakaikan di bawah dada, perut dan pinggul. Nak pakai salah satu atau dua pun boleh je. Tak perlu nak lilit, hanya dilekatkan dengan pelekat velcro sahaja. Memang mudah.

Harga untuk 1 set bengkung moden saya rasa dalam RM60 ke RM70. Bergantung kepada kualiti. Dan banyak jenis lain juga yang dikatakan sebagai bengkung moden sekarang.

Tapi saya guna yang 3 keping ini lah.

Boleh google untuk lihat pelbagai pilihan bengkung dan pilih yang mana sesuai.

Ibu yang bakal berpantang dah sedia ke dengan bengkung? Atau yang masih memilih dan belum beli, diharap perkongsian ini dapat membantu anda.

Entri 6/30: Bertungku Semasa Pantang

Teks: Hifzaila Hafni

Bertungku merupakan salah satu amalan dalam pantang yang saya paling suka. Sebabnya, selepas bertungku, badan jadi ringan dan segar.

Amalan ini juga merupakan antara amalan dalam pantang yang penting dan tidak boleh diabaikan. Antara kebaikan bertungku adalah untuk mengecutkan rahim dan mengeluarkan angin dalam badan.

Pengalaman saya bertungku, saya hanya gunakan batu sungai yang saiznya sederhana besar. Batu tersebut akan dipanaskan di atas dapur dengan api kecil selama 15 ke 20 minit. Kemudian biarkan batu tersebut sejuk sebentar sebelum dibungkus dengan kain.

Kain yang mengalas dan membungkus batu harus tebal sedikit dan lazimnya mak mentua saya gunakan kain batik yang sudah lama atau lusuh, boleh juga guna kemeja t yang tidak lagi dipakai. Gunting kain alas tadi berbentuk segiempat untuk mudah membungkus batu.

Sebelum meletakkan batu di atas kain, alas kain dengan daun-daun herba untuk beri bau yang harum. Dulunya saya gunakan daun mengkudu. Kemudian letakkan batu di atas daun tadi dan dipunjutkan kain alas tersebut. Seterusnya ikat dengan kemas.

Sebelum mula bertungku, cuba dulu letak perlahan-lahan tungku tadi pada perut untuk uji kepanasannya. Jika selesa dengan kepanasan tu, baru teruskan. Kalau rasa terlalu panas, biarkan sebentar baru mula semula.

Boleh tungku terus pada kulit tubuh atau lapik dengan kain batik.

Tekan tungku pada bahagian badan seperti sekitar ari-ari, bawah abdomen hingga haba meresap ke dalam. Tuam beberapa kali hingga rasa selesa. Teruskan tuam ke seluruh bahagian badan yang lain.

Selesai bertungku, bolehlah menyapu minyak panas atau param ke seluruh badan dan pakai stoking.

Sekarang ni, tungku sudah ada yang siap dipunjut dan dibungkus bersama daun-daun herba. Ada juga yang hanya perlu distim. Juga ada pilihan batu tungku leper beserta sarung. Pilihlah mana yang kita suka.

Entri 5/30: Tip Tidur Nyenyak Dalam Pantang

Teks: Hifzaila Hafni
Gambar: Google

Salah satu dilema ibu berpantang apatah lagi yang bersalin anak sulung adalah bagaimana cara untuk dapatkan tidur yang lena dan berkualiti walaupun dalam tempoh yang singkat.


Kedengaran mustahil, bukan?

Namun ia tidak mustahil, bahkan mudah diamalkan.

Saya ingin berkongsi pengalaman saya sendiri berkenaan masalah ini.

Semasa berpantang anak sulung, terasa amat kekok sekali untuk mengubah rutin tidur. Dan saya juga sering kali menjadi terlalu letih, lesu dan kurang bertenaga menjelang pagi akibat berjaga malam dan tidak dapat tidur dengan baik. Keadaan emosi dan kesihatan juga kurang baik disebabkan kurangnya tidur.

Benar, setiap ibu yang beranak kecil dan menyusu akan hilang nikmat tidur 7-8 jam sehari. Tetapi tidak bermakna ibu tak boleh atau takkan mampu nak dapatkan tidur atau rehat yang berkualiti dengan waktu tidur sekadar 2-3 jam sehari.

Sejak saya berpantang anak kedua, selain belajar daripada pengalaman lalu, saya mula ambil suplemen untuk tampung kekurangan nutrisi saya. Salah satu vitamin yang wajib saya ambil adalah tablet kalsium-magnesium.

Asalnya saya ambil untuk menampung keperluan kalsium saya yang makin bertambah setelah mengandung. Maklumlah, bekalan kalsium sangat kritikal bagi ibu sejak mengandung hingga menyusu kerana bayi akan mengambil kalsium daripada ibu. Jika ibu tak cukup kalsium, maka timbul masalah sakit-sakit tulang, pinggang, lutut dan gusi.

Alhamdulillah sejak amalkan secara konsisten, masalah-masalah di atas dapat diatasi. Tapi rupanya saya tak sedar bahawa antara kesan lainnya adalah tidur yang lebih lena dan mengurangkan sembelit.

Walaupun hanya mampu mendapat tidur malam yang singkat, namun tetap segar bangun pagi. Sejak itu, saya memang amalkan mengambil 4 tablet kalsium-magnesium setiap hari sebelum tidur.

Jadi, ibu yang sedang berpantang, jangan risau tentang masalah ini kerana ia boleh diatasi. Sebenarnya ibu berpantang juga boleh dapatkan tidur yang berkualiti dan lebih nyenyak walaupun dalam tempoh singkat.

Entri 4/30: Bolehkah Ibu Berpantang Ambil Makanan Bersantan?

Teks: Hifzaila Hafni

Semasa berpantang anak kedua dulu, tukang urut saya ada berpesan supaya tangguhkan dulu makan makanan yang bersantan semasa dalam pantang.

Saya tak pasti apa sebabnya, dan dia pula hanya jawab 'lebih baik jangan makan dulu, tak berapa elok'.

Jadi, makanan seperti gulai lemak, kari bersantan dan nasi lemak harus dielakkanlah buat sementara waktu.

(Sukarnya berpantang nasi lemak!)

Saya ada bertanya pendapat kawan-kawan di Facebook tentang isu ini dan jawapan yang diterima agak pelbagai.

Ada yang mengatakan boleh dimakan selepas minggu pertama, ada yang menjawab selepas 100 hari pantang. Maka, seterusnya saya buat pembacaan dan carian sedikit namun maklumat yang dijumpai tidak begitu banyak.

'Makanan bersantan jika dimakan ibu berpantang boleh menyebabkan kembung dan angin pada bayi yang disusukan.'

Itu sahaja maklumat yang saya jumpa.

Apapun, saya lebih suka mengambil jalan selamat untuk menangguhkan dahulu mengambil makanan bersantan dalam tempoh berpantang. Sebenarnya jika saya aktif menyusu, makanan bersantan adalah salah satu milk booster saya. Tapi tak mengapalah, selepas pantang kan boleh makan.

Namun, dalam buku menu berpantang saya ada lihat salah satu menu bersantan - masak lemak pegaga. Aduh sedapnya!

Harus cuba nanti.