Thursday 17 August 2017

Entri 16/30: Penjagaan Luaran Badan Semasa Pantang

Teks: Hifzaila Hafni

Masa dalam pantang, saya tak ambil jamu atau apa-apa herba sebab anak kuning. Tangguh tangguh terus tak ambik. Tengok akar kayu yang dibeli, rasa tak sanggup pula nak minum! Haha tak cukup kuat nak telan.

Tapi saya cuba pastikan penjagaan diri dari segi luaran. Sekurang-kurangnya dapat segarkan diri.

Minyak panas
Saya gunakan minyak berubat Afiat. Tak panas sangat, tapi aroma dia sedap. Bila sapu pun selesa cepat menyerap. Sapu satu badan. Ganti param pilis sebab tak sempat nak sediakan. Saya tumpu sapu pada tapak kaki.

Stokin
Pakai stokin bola pun ok sebab tebal sikit. Saya pakai stokin tak ada masalah, saya lagi selesa.

Krim perut
Saya guna krim panas dengan pati limau nipis, tak ingat jenama apa. Sedap juga pakai rasa panas berangin. Sapu kemudian pakai bengkung.

Feminine wash
Saya gunakan jenama Afiat. Baunya sedap, bau tea tree. Dan selesa pakai.

Mandian herba
Masa pantang anak kedua, tukang urut sediakan daun-daun herba untuk mandian. Bolehlah guna untuk 4-5 kali mandi. Yang ketiga, saya guna gel mandian serai jenama Afiat. Harum sungguh baunya! Dan sangat menyegarkan. Cuma botolnya agak kecil, tak cukup. Haha

Entri 15/30: Urutan Selepas Bersalin

Teks: Hifzaila Hafni

Salah satu amalan penting dalam pantang adalah urut. Sebab tu, ada yang dah booking tukang urut bersalin awal-awal lagi, dan ada juga yang dah siapkan sejak awal bajet untuk tukang urut yang biasanya didatangkan dengan pakej penjagaan sekali.

Saya, 3 kali bersalin, 3 kali pengalaman berbeza, 3 tukang urut. Hehe

Saya kongsikan pengalaman urut saya semasa pantang.

Tukang urut 1

Tukang urut terbaik setakat ini. Urutan Wak ini paling sedap dan selesa bagi saya. Maklumlah orang lama. Memang sanggup ke rumahnya berurut 3 kali, sebab dia tiada kenderaan untuk datang ke rumah saya. Wak ini juga mahir ikat bengkung lilit Jawa. Kalau nak urut budak pun selalu kami bawa pada Wak ni. Cuma sekarang, dah meningkat usia dia taklah sekuat dulu.

Tukang urut 2

Yang ni saya panggil kakak. Dia boleh datang ke rumah. Yang ni dicadangkan oleh jiran yang biasa dapatkan khidmatnya. Kakak ni datang 3 hari berturut-turut ke rumah. Siap dengan daun-daun untuk mandian. Nak mandi baby pun boleh. Nak ikat bengkung pun boleh. Kakak ni akan urut, siap dengan tungku sekali. Dia guna tungku bola besi. Ok juga servisnya, orangnya ramah. Biasanya dia akan spend dalam 2 jam.

Tukang urut 3

Saya sebenarnya mahu khidmat Wak urut pertama tapi Allah tak izinkan. Rumahnya dilanda banjir dan tenggelam keseluruhannya sebab lokasi rumahnya tu rendah. Dek rumahnya dalam keadaan begitu, takkan nak pergi mengurut pula. Saya contact kakak urut kedua, tak berjawab pula. Hal ini berlanjutan hingga saya dah balik ke rumah hampir seminggu. Aduh, betapa tak selesa badan tak diurut. Mana dengan bajet lagi. Kesudahannya, saya search spa berdekatan yang ada tawarkan urutan lepas bersalin. Alhamdulillah ada slot kosong pada tarikh dan waktu yang saya nak tapi saya perlu ke premisnya. Kena naik tangga pula huhu sebab spa di tingkat 1. Berangkut kami anak beranak ke sana. Sebab baby kena ikut, untuk menyusu. Anak-anak lain memang nak ikut bila nampak abah ummi keluar.

Alhamdulillah urutannya ok. Kali ini adik urut pula! Peramah juga. Siap bertungku. Batu tungkunya panjang dan berat, memang sedap sangat terasa panas tembus ke dalam.

Sebab kekangan bajet dan masa, saya hanya pergi sekali sahaja. Cukuplah daripada tak diurut langsung.

Ibu pantang, sebolehnya mengurut ye sekali pun tak apa kalau tak sempat sangat. Tukang urut akan betulkan urat-urat, keluarkan angin dan segarkan badan. Baru rasa selesa, susu badan makin lancar.

Wednesday 16 August 2017

Entri 14/30: Vitamin untuk Ibu Pantang

Teks: Hifzaila Hafni

Masa pantang, saya sebolehnya cuba untuk tidak tinggalkan segala vitamin yang dibekalkan oleh hospital dan yang dibeli sendiri. Bukan apa, faham keadaan diri sendiri yang tak cukup zat dek kekalutan masa dalam pantang.

Jadi sangat penting saya top up dengan beberapa jenis vitamin dalam bentuk suplemen untuk pastikan saya terus bertenaga dan sihat.

Biasanya, balik dari hospital, ibu akan dibekalkan dengan pil hematinik (obimin), iron tablet (zat besi, ubat tambah darah orang kata), asid folik - seingat saya. Tapi taklah banyak, untuk tempoh 2 minggu ke 4 minggu saya dah tak ingat. Tapi bolehlah nak bantu kesihatan ibu, lepas dah habis tu boleh je beli sendiri.

Dalam pantang dan menyusu, saya biasa ambil multivitamin dengan zat besi, vitamin B kompleks, vitamin C dan tablet kalsium-magnesium. Ni kira yang paling asas lah. Kalau tak pun, multivitamin saja pun ok sebab dah merangkumi semua vitamin yang diperlukan.

Kalau saya ada bajet lebih, saya ambil kapsul minyak ikan. Tapi kalau tak, makan la ikan kerap sikit. Hehe

Vitamin semua ni, bukan apa. Kadang mak-mak dalam pantang ni, makan pun tak teratur. Dan bila menyusu tu memang cepat lapar asyik nak makan. Badan pun nak kena cukup zat untuk hasilkan susu badan yang cukup dan berkualiti. Tapi dah kalau makan tak sempat, tidur pun tak cukup, kadang tu sebab dah letih lesu sangat nak makan pun dah tak selera. Jadi dari mana tenaga dan nutrien nak datang?

Bila dalam keadaan macam nilah kena top up vitamin tu. Sekurang-kurangnya cergas sikit. Insya Allah. Tapi makan tetap kena makan. Suplemen vitamin sebagai pelengkap sahaja.

Entri 13/30: Makanan yang Perlu Dielakkan Semasa Pantang

Teks: Hifzaila Hafni

Dah namanya pun pantang, jadinya banyak perkara yang ibu dalam pantang kena 'pantang'. Terutamanya bab makanan.

Tapi tidaklah bermakna itu tak boleh makan, ini tak boleh makan. Perlu berpada dan memilih sikit untuk tubuh cepat pulih dan sihat. Itupun bergantung juga pada ibu. Ada yang sesuai tapi tidak pada ibu lain. Jadi kena hati-hati.

Apa yang ibu TAK BOLEH makan semasa pantang?

1. Sayuran berkacang. Contohnya kacang panjang dan buncis. Boleh sebabkan angin.

2. Santan. Di hari-hari awal pantang. Masuk minggu kedua atau ketiga biasanya boleh. Tapi bersederhanalah.

3. Ikan berbisa. Contohnya sembilang dan keli.

4. Telur. Bergantung pada ibu. Ada yang gatal. Tapi kalau tak gatal, bolehla makan.

5. Makanan laut. Contoh udang, sotong, ketam, tiram. Boleh sebabkan gatal terutama pada luka yang baru nak sembuh. Dan perlu terus pantang hingga anak dah besar sikit dalam 6 bulan begitu. Sebab gatal boleh kena pada anak juga.

6. Air berais. Tubuh ibu dalam pantang, sejuk. Jadi minuman berais sangat tak digalakkan. Saya lepas pantang pun tak tahan dengan air berais, rasa bisa-bisa badan. Sikit-sikit bolehlah.

7. Teh. Boleh sebabkan angin.

Kenapa kebanyakan makanan berangin kena elakkan?

Sebab lepas bersalin, badan ibu mudah masuk angin. Dan sebenarnya dalam pantang tulah proses nak buang angin yang ada. Dan kalau ibu pun berangin, nanti anak yang menyusu boleh kembung. Kesan akibat angin ni amatlah perit. Boleh sakit kepala. Anak pula tak boleh tidur dan tak selesa.

Inilah antaranya yang saya dapat kongsi berdasarkan pengalaman saya. Selebihnya seperti makanan segera, berlemak dan berminyak (yang berlebihan) perlu juga elakkan. Diet ibu pantang sama saja macam diet sihat seimbang seperti yang disarankan oleh KKM.

Cuma satu yang perlu diambil perhatian, apa yang ibu makan, akan dapat pada anak, asbab menyusu. Jadi kena hati-hati ya. Begitu juga dengan jamu, herba atau ubat-ubatan. Kalau tak pasti, lebih baik tangguhkan atau tanya pada mereka yang ahli.

Entri 12/30: Lawatan Jururawat dalam Pantang

Teks: Hifzaila Hafni

Sejak anak pertama lagi, saya sudah terima lawatan jururawat (misi) ke rumah.  Pada saya, memang sangat membantu dan saya pun banyak belajar daripada mereka juga.

Walaupun ada yang kurang senang atau tak selesa misi datang bertandang, tapi percayalah kedatangan mereka sangat bermakna kepada kesihatan ibu dan anak. Apalagi dalam keadaan berpantang dan baru saja melahirkan, memang kita belum kuat dan perlukan bantuan.

Salah satu bantuan dari KKM inilah dia, lawatan misi semasa pantang.

Jangan risau, misi bukannya kisah pun kita dah mandi ke belum, rumah bersepah  ke. Misi datang nak check ibu dan anak saja. Itu pun kalau tiada masalah, sekejap saja.

Macamana nak minta misi datang rumah buat lawatan?

Sejurus selepas balik dari hospital, dah ada di rumah, secepat mungkin maklumkan pada KK yang terdekat. Pergi lapor hujung minggu pun boleh, kena check dengan KK tu lah. Masa anak ketiga ni, suami lapor hari Sabtu sebab sampai rumah Jumaat dah lewat petang sangat. Lepas KK dah dapat laporan, misi yang bertugas akan arrange waktu lawatan. Biasanya pagi hingga paling lewat dalam pukul 1 petang gitulah.

Apa yang misi check masa lawatan?

Misi akan check ibu dan anak. Ibu akan diperiksa tekanan darah, luka jahitan atau pembedahan, kaki bengkak atau tidak, ada apa-apa masalah penyusuan tak.

Untuk anak, misi akan timbang berat, tengok tali pusat, check kuning. Misi yang senior biasa tengok baby dia dah tahu ada kuning atau tak. Kalau ada kuning, ibu bapa dinasihatkan ke KK secepat mungkin untuk ambil darah.

Berapa orang misi datang setiap kali lawatan?

Biasanya 2 orang. Pernah sekali masa saya pantang anak kedua, misi datang dengan doktor pelatih. Misi akan minta izin kita untuk libatkan doktor tu dalam pemeriksaan kita. Tujuan pun untuk belajar. Saya ok je.

Berapa kali misi akan buat lawatan?

Pada hari 1-7 misi akan datang setiap hari. Lepas tu hari ke 10, 14 dan 20.

Pada saya, usah kita anggap kedatangan mereka mengganggu kita. Lawatan tu adalah sebahagian daripada tugas mereka dan jika kita tak mahu atau kurang senang dengan kehadiran mereka, boleh menolak dengan baik. Sudahlah servisnya percuma dan hujung minggu pun misi kena datang juga. Termasuklah hari raya dan sebagainya.

Setakat ini, saya puas hati dengan servis lawatan daripada misi KK KLIA dan KK Salak. Memang mesra dan peramah. Disebabkan mereka juga, anak-anak saya dapat detect kuning lebih awal dan dapat rawatan lanjut.

Terima kasih misi!

Tuesday 15 August 2017

Entri 11/30: Bila Anak Kuning (Jaundis)

Teks: Hifzaila Hafni

"Ni macam ada kuning sikit ni Puan. Nanti gi klinik ye, ambik darah tengok kuning dia berapa" kata nurse waktu datang buat lawatan di rumah.

Hari itu hari ketiga. Hari Sabtu.

Klinik Kesihatan Salak tutup. Jadi kena ke KK Putrajaya yang buka separuh hari. Waktu itu pukul 9, jadi lepas siap-siap, terus ke sana.

Ramai juga orang tapi alhamdulillah urusan agak mudah cuma kami tak terbiasa dengan segalanya elektronik. Setiap kertas yang bercetak nombor giliran disertakan kod bar, jadi untuk setiap urusan, ke makmal, jumpa doktor semuanya hanya perlu skan. Berbeza dengan di KK yang biasa kami pergi sebelum ini, perlu melalui nurse dan mengambil masa sedikit.

Memang anak ada kuning sedikit dan bermulalah episod ulang alik ke klinik dan kaki anak kena cucuk untuk diambil sampel. Memang kesian pada anak tapi untuk kesihatannya, terpaksalah hadapi.

Anak saya mengalami jaundis yang agak lama, hampir 21 hari. Hampir saja didiagnos prolonged jaundice tapi alhamdulillah bacaan akhir menunjukkan anak bebas jaundis. Bacaan yang normal adalah di bawah 100.

Dalam tempoh itu, berhempas pulas juga saya menyusukan anak. Kadang-kadang tak tunggu 2 jam sekali, sejam atau setengah jam sekali saya paksa dia menyusu. Memang rutin tidur dah ke laut dan rasa amat letih dan lesu. Tapi digagahkan juga kerana saya perlu pastikan saya cukup susu badan untuk keperluan anak. Anak jaundis perlu menyusu sekerap mungkin supaya lebih cepat kuningnya turun bila kerap berak dan kencing.

Sedikit panduan atau peringatan daripada nurse di KK yang saya boleh kongsikan ketika anak jaundis:

1. Ibu tangguhkan dulu makan jamu. Kandungan herba dalam jamu dikhuatiri boleh tingkatkan kuning pada anak.

2. Ibu elak minum susu kambing. Saya kurang pasti kebenarannya tapi saya tinggalkan sekejap, walaupun ketika dalam pantang saya suka minum susu kambing suam.

3. Kebiasaannya ibu juga kena pantang makan kunyit dan halia.

4. Elak beri apa-apa makanan pada anak. Ada sebilangan orang lama akan nasihatkan bagi anak jaundis minum susu kambing, air buah anggur hitam dan macam-macam lagi. Apa saja makanan, ibu yang perlu makan dan zat itu nanti akan disalur pada anak melalui susu ibu.

5. Tak perlu mandikan anak dengan apa-apa mandian herba. Mandi seperti biasa sahaja.

Fokus saya bila anak jaundis, hanyalah untuk banyakkan susu badan dan menyusu anak dengan kerap. Pengalaman 3 anak jaundis memang beri kesan juga. Anak pertama kena tahan di wad dan diletak bawah lampu. Anak kedua alhamdulillah jaundisnya sekejap saja dah turun. Yang ketiga, hampir prolonged jaundice.

Apapun, ikut saja nasihat doktor dan nurse. Pergi ke KK mengikut tarikh yang ditetapkan. Bukan apa, jaundis ni boleh beri kesan pada otak jika tak dipantau rapi. Dan jangan percaya pada mata kasar kita orang kebanyakan ni, kita tak nampak kuning tapi bila check darah, tinggi kuning anak. Yang check dengan mata kasar ni hanya ahli perubatan yang pakar dan berpengalaman sahaja.

Ibu juga kena jaga kesihatan, minum air secukupnya dan makan makanan berkhasiat.

Entri 10/30: Menu Pantang di Rumah Mentua

Teks: Hifzaila Hafni

Saya berpantang di rumah mentua lebih kurang 3 minggu. Selepas rasa semakin sihat dan mampu urus diri dan anak-anak, kami balik ke rumah. Lagipun kasihankan suami perlu ulang-alik tempat kerja ke rumah mak. Jauh juga.

Selama saya berpantang di rumah mak, mak yang memasak lauk pantang saya. Ada juga yang dimasak oleh adik atau kakak ipar. Yang saya masak sendiri pun ada, bila mana mak tak sempat nak masak. Saya buat yang mudah-mudah sahaja.

Antara menu pantang yang mak/adik ipar/ biras saya masakkan untuk saya sepanjang berpantang di sana kali ini:

- Tenggiri rendang asam
- Sup sawi
- Ungkep daging
- Sup ayam
- Peria katak masak taucu
- Sawi goreng
- Ikan bilis goreng, halia dan lada hitam
- Ayam masak kicap
- Pindang ikan senangin
- Bawal kukus

Ada antara menu yang diulang. Yang paling saya suka rendang asam. Mak masak memang sedap. Kalau ada lobak putih, biasanya mak masukkan sekali dalam tu. Jadi, tak perlu nak masakkan sayur lagi. Begitu juga dengan pindang.

Alhamdulillah, mak masih boleh siapkan makanan walaupun mak tidak begitu sihat. Saya bersyukur sebab masih boleh menumpang di rumah mak sewaktu di awal pantang. Semoga mak dikurniakan nikmat kesihatan yang baik. Insha Allah.

Teringat dulu masa berpantang anak sulung. Saya memang berpantang dengan mak mentua sebab mak saya dah tak ada. Jadinya pada mak mentua saya lah saya harap sangat dapat jaga saya dalam pantang.

Alhamdulillah waktu tu, mak masih kuat dan cergas. Dan masa tu anak sulung saya merupakan cucu ketiga mereka setelah cucu pertama dan kedua lahir 4 tahun sebelum itu. Jadi, kehadiran anak sulung saya agak mengujakan dan menceriakan seisi keluarga.

Waktu itu juga adik-adik ipar saya masih belum berkahwin dan tinggal bersama, jadi di rumah sentiasa ada orang untuk membantu mak sambil jaga saya dalam pantang.

Masa tu, waktu makan saya memang on time. Dan saya sangat enjoy dengan makanan pantang saya tak kiralah apa juga yang mak masak. Mungkin juga teruja sebab dapat makan makanan rumah yakni masakan seorang mak. Minum pagi atau petang pun kadangkala adik-adik ipar rajin tolong buatkan. Memang sangat membantu saya melalui tempoh pantang yang agak mencabar kerana luka jahitan yang agak besar membataskan pergerakan.

Pantang waktu tu, mak selalu buat pindang. Walaupun pindang, yang masakannya mudah sahaja, tapi pindang air tangan mak memang sedap. Saya paling ingat pindang sebab mak selalu buat.

Lagi satu, sewaktu pantang inilah saya kenal ikan kurau kering, yang mana abah mentua carikan di pasar Banting sebab bukan mudah nak dapat. Ikan kurau kering ni, kalau nak tahu, agak sukar nak dapat dan agak mahal juga. Tapi ibu berpantang boleh makan sebab tak gatal. Abah juga tolong bakarkan, dan memang sedap. Selain tu, dibelikan juga longan kering. Rebus dan minum suam-suam. Sangat menyegarkan dan bantu banyakkan susu badan. Sekarang ni, harga longan kering ni boleh tahan juga mahalnya.

Begitulah bila berpantang dijaga oleh orang tua. Banyak yang kita dapat belajar daripada pengalaman mereka.