Friday 30 December 2016

Entri 3/30: Ikan Yang Sesuai untuk Ibu Berpantang

Teks: Hifzaila Hafni
Gambar: Google

Ikan merupakan sumber protein popular dan sangat baik diambil semasa berpantang. Selain protein, ikan juga mengandungi omega-3 dan DHA yang membantu perkembangan otak yang baik.

Namun begitu, hati-hati dalam memilih ikan untuk hidangan semasa pantang kerana terdapat ikan yang boleh memberi rasa gatal terutamanya pada kawasan luka bersalin.

Elakkan jenis ikan begini buat sementara waktu. Selain ikan yang menyebabkan gatal, ikan yang bersengat dan berbisa juga perlu dielakkan.

Berikut 12 jenis ikan yang boleh diambil sewaktu berpantang.

1. HARUAN


Ikan haruan terkenal sebagai ikan yang mampu bantu mempercepat luka. Ikan ini lebih baik diambil segar berbanding patinya yang sering diiklankan. Mengambil ikan segar lebih terjamin khasiatnya kerana dikhuatiri pati yang dikomersilkan mengandungi bahan lain sebagai campuran, yang mana boleh menyebabkan gangguan kepada proses pemulihan luka dengan baik.

Cadangan menu: Sup, rebus, bakar.

2. MERAH


Ikan merah antara ikan yang popular dan mudah didapati di pasar. Isinya manis dan sedap. Biasanya sudah siap dipotong keping dan dibeli segar di pasar.

Cadangan menu: Sup (paling dicadangkan), pindang, panggang.

3. TENGGIRI


Antara ikan yang mudah didapati juga di pasar. Tenggiri yang bersaiz besar biasanya akan siap dipotong dan dijual keping. Tenggiri bersaiz sederhana boleh dibeli seekor. Harga ikan tenggiri memang agak mahal sedikit, kalau ada bajet lebih, sebenarnya lebih berbaloi beli seekor.

Cadangan menu: Bakar, kari, singgang.

4. JENAHAK


Jenahak mempunyai isi yang manis. Sama seperti tenggiri dan merah, biasanya siap dipotong dan dijual kepingan.

Cadangan menu: Panggang, sup.

5. SALMON


Ikan berisi merah jambu ini mungkin biasa di bandar besar, kerana lebih mudah didapati di pasar besar. Cara memasak ikan salmon juga ringkas dan mudah kerana tidak memerlukan banyak bahan disebabkan rasanya yang tersendiri. Salmon juga enak dimakan dengan memanggangnya bersama garam dan lada hitam sahaja.

Cadangan menu: Panggang (paling dicadangkan), kari.

6. GELAMA


Gelama segar boleh dimasak berkuah. Atau sesekali menukar selera dengan gelama kering yang digoreng dengan bawang.

Cadangan menu: Masak asam/rendang asam, pindang.

7. KERISI

Seakan-akan ikan gelama berdasarkan fizikalnya. Untuk kepastian sebelum membeli, tanya dahulu dengan penjual ikan.

Cadangan menu: Digoreng, dibakar, kari, pindang.

8. BILIS


Pilihan popular ibu berpantang. Selain mudah disedia, ikan bilis juga memberi bekalan kalsium. Tapi hati-hati jangan terlalu banyak diambil kerana ikan bilis adalah masin (peringatan untuk ibu yang ada darah tinggi).

Cadangan menu: Ikan bilis goreng bersama halia dan lada hitam, kerabu ikan bilis dengan daun selom.

9. KURAU KERING


Seperti ikan bilis dan gelama kering, boleh diambil sesekali sebagai pembuka selera atau hidangan sampingan kerana kandungan garam yang tinggi, tidak digalakkan diambil secara kerap.

Cadangan menu: Dibakar, digoreng bersama halia dan lada hitam.

10. SENANGIN


Antara ikan yang sering digunakan dalam menu pantang. Sedap dimasak berkuah.

Cadangan menu: Pindang, kukus.

11. BAWAL PUTIH


Tak semua bawal boleh diambil semasa pantang. Bawal putih boleh, elakkan bawal hitam dikhuatiri gatal. Sebelum membeli, pastikan dengan penjual ikan dahulu jika kurang yakin. Tapi sebenarnya mudah sahaja untuk bezakan antara bawal putih dengan hitam berdasarkan warna ikan.

Cadangan menu: Kukus limau, panggang.

12. SELAR


Ikan yang mudah didapati di pasar dan begitu mudah juga untuk dikenali. Ikan selar mempunyai satu garisan kuning di sepanjang badannya. Terdapat dalam pelbagai saiz.

Cadangan menu: Bakar, goreng.

Semoga dengan panduan ringkas ini dapat membantu mereka yang membeli ikan untuk ibu berpantang.

Monday 26 December 2016

Entri 2/30: Perlukah Ibu Berpantang Pakai Param dan Pilis?

Teks: Hifzaila Hafni

Perlukah memakai param dan pilis semasa berpantang?

Param dan pilis merupakan antara item yang sangat sinonim dengan berpantang.

PARAM

1. Ialah campuran herba yang disapu ke seluruh badan untuk mengelakkan angin masuk dan memanaskan badan. Pemakaian param bertujuan untuk memberi kesegaran kepada badan, menjaga kecantikan luaran kulit.

2. Antara ramuan dalam param adalah beras yang direndam dicampur dengan cekur, jerangau, cendana, kulit limau purut, kulit rambai, halia, bawang putih, asam jawa dan kunyit. Biasanya param yang sudah siap dipek boleh didapati di kedai-kedai jamu.

3. Cara pemakaian param
- Masukkan seketul atau separuh param ke dalam bekas.
- Masukkan air dan larutkan param tersebut.
- Bancuhan param perlu sedikit cair untuk memudahkan disapu ke seluruh badan bermula daripada leher, bahu, tangan hingga ke kaki.
- Lebihan param boleh digunakan untuk seterusnya. Pastikan bancuhan param disimpan dalam bekas bertutup untuk elak param kering.

4. Kebaikan memakai param
- Menghalus dan melicinkan kulit.
- Elak badan masuk angin.
- Memastikan tubuh sentiasa hangat.
- Kurangkan rasa sejuk dan kebas.

PILIS

1. Ialah ramuan herba yang ditampal pada dahi.

2. Pilis dibuat daripada tepung beras, kunyit, buah kapulaga, sintok, kulit kayu manis, halba, kapur sirih dan air limau nipis. Biasanya terdapat pek tersedia di kedai jamu. Cuma perlu dibancuh dengan air sahaja.

3. Tujuan pemakaian pilis
- Elak pening
- Elak sakit di bahagian ubun
- Kurangkan sakit kepala
- Kurangkan pitam
- Elak angin merian (ibu yang sukar kawal emosi)

4. Cara pemakaian pilis
- Pilis dibancuh bersama sedikit air dan biarkan bancuhan sedikit pekat.
- Pes pilis kemudian disapu memanjang dan menutupi dahi (dari hujung kening kanan ke hujung kening kiri).
- Biarkan pilis mengering sendiri.

5. Kebaikan memakai pilis
- Segarkan mata dan elak darah putih naik ke kepala.
- Elak masalah rabun di usia muda.
- Kurangkan pitam dan tekanan darah rendah.
- Mencerah penglihatan.

Kini pemakaian param dan pilis sudah ada yang dimodenkan dengan menggantikannya dengan minyak panas, krim atau losyen.

Pemakaian param dan pilis tradisional mungkin tidak selesa bagi sesetengah orang kerana param dan pilis yang telah mengering di badan dan dahi boleh mengotorkan baju dan tilam. Atau memberi rasa kurang selesa juga bila berpeluh. Tak kurang juga ada yang kurang gemar baunya.

Apapun pilihan, pastikan badan disapu dengan sesuatu yang hangat kerana tubuh ibu lepas bersalin bersifat sejuk. Juga untuk mengelakkan badan masuk angin atau lebih teruk mengalami bentan.

Rujukan:
Berpantang Cara Alami (Karangkraf)

---

Pengalaman saya sendiri, saya pernah mencuba kedua-dua cara tradisional dan moden.

Semasa berpantang anak pertama, saya memang konsisten memakai param dan pilis dan tidak dinafikan badan terasa segar dan selesa. Bau herba daripada param dan pilis sedikit sebanyak membantu menenangkan dan memberikan semangat berpantang. Memang agak remeh untuk memakai tetapi kesannya baik pada tubuh.

Semasa berpantang anak kedua pula, saya memilih menggunakan minyak panas menggantikan param dan pilis. Minyak disapu ke seluruh badan juga. Mudah dan berbau harum tapi tak dapat menandingi param dan pilis.

Apapun pilihan cikpuan semua, terpulang mengikut keselesaan dan kesesuaian masing-masing.

Entri 1/30: Koleksi Buku Pantang

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Catatan 5.11.2016

Dalam berpantang ini, selain daripada mendapat maklumat langsung daripada orang-orang tua dan di internet, saya juga ada kumpulkan bahan bacaan mengenai pantang. Antaranya buku berkaitan berpantang secara alami, himpunan resipi dan menu pantang serta panduan berpantang tradisional dan moden.

Saya percaya ilmu berpantang ini tak semestinya dipraktikkan semasa tempoh berpantang sahaja, ada yang relevan untuk diteruskan walaupun sudah selesai 44 hari berpantang.

Bahan bacaan saya terdiri daripada buku, majalah dan ebook (pakej ebook pantang ABDR).

Semoga dapat istiqamah dengan amalan berpantang yang baik untuk kesihatan diri dan bayi. Biarpun mencabar, semoga Allah mudahkan misi berpantang tenang


Saturday 24 December 2016

Latihan Menulis Konsisten 30 Entri

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Catatan 5.11.2016.

Hampir 3 hari saya berkongsi tentang topik berpantang di Facebook, sebagai menyahut cabaran Tuan Zamri Mohamad (rujuk entri sebelum ini).

Saya fikir lebih baik saya turut kembangkan perkongsian ringkas di Facebook di blog ini juga sebagai latihan menulis untuk saya.

Saya akan menulis di bawah hashtag #berpantangtenang. Sasaran sebanyak 30 entri.

Saya akan cuba kongsikan antara lain pengalaman berpantang, menu pantang, cabaran dalam tempoh berpantang, sejarah ringkas tentang amalan berpantang, berpantang sendiri serta kepentingan berpantang untuk kesihatan.

Saya bukanlah orang yang pakar dalam bidang ini cuma saya suka berkongsi pengalaman melalui fasa ini selain akan melaluinya sendiri tidak lama lagi. Insha Allah.

Semoga dipermudahkan dan dilancarkan urusan oleh Allah jua.

Doakan kejayaan misi berpantang dengan tenang ini.

Latihan Menulis: Berpantang Tenang

Teks: Hifzaila Hafni

Catatan pada 2.11.2016.

Semalam, melintas status Tuan Zamri Mohamad di Facebook yang menyatakan cabaran untuk sesiapa yang berminat untuk menulis secara konsisten di FB.

Caranya dengan pilih 1 topik (yang kita sangat tahu), tulis mengenainya setiap hari - biarpun hanya 1 ayat.

Kata kuncinya adalah KONSISTEN.

Beliau akan 'coba' follow sesiapa yang meninggalkan komen yang berminat untuk menyahut cabaran ini dan 3 orang yang konsisten akan dipilih dan diberi 'sesuatu' yang katanya amat berbaloi.

(Saya tak kisah pun apa rewardnya. Saya cuma nak buat ini untuk latih diri sendiri menulis).

Saya terus meninggalkan komen di status beliau dan mencabar diri saya untuk menulis tentang topik Berpantang, walaupun saya belum pasti skop berpantang yang bagaimana yang saya akan tulis.

Takpa, yang penting, mula dan konsisten. Tak coba tak tahu.

Insha Allah saya akan mulakan hari ini. Yang berminat untuk berkongsi tentang apa sahaja info atau input tentang berpantang, jemput follow saya di Facebook ya!


Practice makes perfect, kan?

Entri Pengenalan

Teks: Hifzaila Hafni

Alhamdulillah.

Blog ini diwujudkan untuk menghimpunkan entri berkenaan pengalaman berpantang saya.

Tujuan asal tajuk ini dipilih sebagai latihan untuk konsisten menulis. Namun dalam masa yang sama ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam misi #berpantangtenang.

Entri ditulis bermula akhir bulan Oktober dan berterusan hingga kini.

Sebelum ini, entri dikeluarkan di blog rasmi saya: hifzaila.blogspot.my.

Namun, saya pindahkan kesemua entri di sini untuk lebih fokus dan memudahkan.

Blog ini secara tak langsung menjadi ruang catatan peribadi saya untuk rujukan di masa hadapan.

Walaupun begitu, bagi yang tersinggah membaca di sini, saya doakan kalian menemui sesuatu yang dicari.

Semoga bermanfaat.