Teks: Hifzaila Hafni
Tandem nursing merupakan amalan menyusukan bayi yang baru lahir dan anak yang lebih tua dalam masa yang sama (serentak).
Sumber: Motherlove
Saya melakukan tandem nursing kerana anak ketiga dilahirkan semasa anak kedua berumur 1 tahun 9 bulan. Berbaki 3 bulan untuk lengkapkan penyusuan 2 tahun, saya teruskan sahaja biarpun sangat mencabar.
Cabaran terbesar bila mana kedua-duanya mahu menyusu pada masa yang sama. Sampaikan saya terpaksa belajar untuk menyusu mereka serentak. Memang sangat kekok pada mulanya tapi sekurang-kurangnya kedua-duanya puas hati dan berhenti menangis.
Orang-orang tua selalunya akan nasihatkan berhenti menyusu jika mengandung. Tapi bila saya buat sedikit pembacaan, selagi ibu berasa sihat, tiada risiko rahim lemah atau yakin boleh teruskan penyusuan sepanjang mengandung, boleh teruskan sahaja.
Alhamdulillah semuanya ok hingga saat melahirkan, cuma kurang selesa disebabkan perut yang makin membesar.
Bila dah melahirkan pula, sekali lagi orang-orang tua akan nasihatkan supaya berhenti menyusukan anak yang lebih tua. Kerana bimbang adiknya 'tak cukup susu'.
Saya juga sudah membuat sedikit pembacaan tentang ini, dan sebenarnya tidak akan timbul isu tak cukup susu malahan penghasilan susu akan menjadi lebih banyak kerana supply and demand yang tinggi (maklumlah dua orang menyusu pada suatu masa). Payudara juga kurang bengkak atau berlaku bengkak susu kerana penyusuan berlaku dengan kerap. Jika adiknya sudah kenyang, biasanya bayi kecil menyusu dalam kuantiti sedikit sahaja, jadi abangnya pula yang akan sambung menyusu. Biasanya payudara memang terus kosong sebab anak yang lebih besar lebih kuat menyusu. Bila payudara sering mengosong, akan lebih banyak susu terhasil.
Berpegang kepada itulah, saya yakin untuk teruskan tandem nursing ini kerana bukan sahaja menguntungkan saya malahan anak-anak saya juga mendapat kebaikan yang sama.
Jadi sepatutnya tidak timbul isu tak cukup susu untuk anak yang baru lahir. Insha Allah ada rezeki masing-masing.
Yang penting, ibu kena cukup zat untuk tampung keperluan menyusu. Ibu harus makan lebih sedikit dari biasa dan perlu pastikan banyak minum air. Selain perlu amalkan pemakanan seimbang, perlu juga mengambil suplemen untuk menampung mana-mana zat yang kurang. Demi kesihatan ibu dan 2 anak yang masih menyusu.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment