Tuesday 15 August 2017

Entri 7/30: Jenis Bengkung Bersalin

Teks: Hifzaila Hafni

Berbengkung, amalan penting semasa berpantang. Dengan berbengkung, dapat mengempiskan perut, mengembalikan bentuk tubuh yang asal dan juga elak perut menggeleber.

Bagi ibu yang bersalin normal, boleh mula berbengkung dalam minggu pertama pantang, namun bagi ibu yang bersalin pembedahan, perlu tangguhkan seketika pemakaian bengkung supaya luka sembuh sepenuhnya atau boleh pilih bengkung yang sesuai untuk ibu yang bersalin pembedahan.

Berdasarkan pengalaman saya dengan bengkung dalam pantang, pada saya bengkung tradisional yang menggunakan kain panjang itu tetap yang terbaik. Malangnya saya hanya sempat merasainya sekali sahaja.

Di sini saya kongsikan pengalaman saya berbengkung dalam 3 kali berpantang dengan menggunakan pelbagai jenis bengkung.

1. BENGKUNG TRADISIONAL


Paling berkesan mengempiskan perut jika dipakai dengan betul. Sebaiknya dililit dan dipakaikan oleh orang lain yang pandai. Nak melilit dan mengikat bengkung jenis ini perlukan kemahiran dan kekuatan tangan.

Orang dulu-dulu kebanyakannya pandai. Lilitan perlu kemas dan kejab untuk hasil yang memuaskan.

Saya pakai bengkung lilit jawa hampir setiap hari sepanjang berpantang anak sulung. Mak mentua pandai melilit dan pakaikan. Pergi mengurut, tukang urut tu yang pakaikan bengkung. Memang selesa jika dipakaikan oleh orang yang berpengalaman.

Kini agak sukar nak istiqamah pakai bengkung begini sebab tak boleh pakai sendiri tanpa bantuan orang lain dan mengambil masa yang lama untuk dipakai. Jadi, bengkung tradisional kurang jadi pilihan saya melainkan yang telah dimudahkan fungsinya dan dimodenkan.

Sedikit info sebelum berbengkung: sapu krim tapel atau losyen panas pada perut, kemudian lilit perut dengan kain alas contohnya kain batik. Kemudian baru pakai bengkung.

Pemakaian kain alas bertujuan untuk serapan losyen yang lebih berkesan dan untuk elak bengkung kotor terkena krim atau losyen.

2. BENGKUNG TALI ZIG ZAG


Saya pilih bengkung ini masa berpantang anak kedua. Sebab masih ingin kekalkan penggunaan bengkung tradisional, saya pilih jenis ini sebab bentuknya seakan sama cuma telah dimudahkan fungsinya.

Namun malangnya tidak berfungsi sebagaimana yang saya sangkakan. Bukan bermakna bengkung ini 'failed' tetapi mungkin lebih kepada kurang sesuai untuk saya.

Saya dapati bengkungnya pendek sedikit dan tali yang disediakan agak pendek. Saya cuma berjaya pakai bengkung ini dengan selesa cuma sekali sahaja, dengan bantuan tukang urut.

Itupun dia terpaksa menyambung tali tambahan kerana tali yang disediakan tidak cukup panjang. Mungkin sesuai untuk ibu yang bertubuh kecil. Yang saiz macam saya ni macam tak muat.

Bengkung ini kesudahannya terbiar sahaja. Jenama Jamu Jelita, harga dalam lingkungan RM30-40.

3. KORSET


Salah satu alternatif kepada bengkung adalah korset. Saya beli sehelai masa berpantang anak kedua. Jadinya saya beli bengkung dan korset masa berpantang kali kedua. Saya beli korset langsing berherba jenama Jamu Jelita.

Saya agak suka dan selesa memakai korset ini cuma materialnya terlalu elastik dan memeri bagi saya. Sepatutnya korset membentuk tubuh kan, tetapi materialnya sebegini menyebabkan tubuh kita pula yang 'membentuk' dia. Tapi untuk sokongan payudara dan pinggul agak bagus juga. Cuma failed' untuk membentuk perut. Saya pakai lama juga korset ini. Sampai lepas pantang pun sambung pakai sebab suka.

Harga sehelai masa saya beli dulu dalam RM30 ke RM40.

4. MAXI PANTY

Saya gunakan masa berpantang anak ketiga. Saya beli yang jenis tebal sikit.

Mengikut pesan tukang urut, katanya, kalau tak berbengkung pun sekurang-kurangnya pakai maxi panty, untuk bantu kempiskan perut. Walaupun kesannya tidaklah begitu ketara, sekurang-kurangnya dapat menampung perut yang masih belum kempis sepenuhnya.

Jadi saya pun sediakan lah dan ok juga bila memakainya. Taklah terasa perut tu tergantung-gantung dan menggeleber sangat.
Kalau ada bajet lebih, boleh beli yang berjenama. Tapi yang biasa pun saya rasa ok saja. Sehelai dalam RM30 saya beli di Mydin.

5. BENGKUNG MODEN 3 DALAM 1


Juga saya guna semasa pantang anak ketiga. Saya mulanya mahu membeli tapi sepupu bermurah hati pinjamkan.
Nak pakai mudah dan tak ambil banyak masa. Dengan 3 keping bengkung, pakaikan di bawah dada, perut dan pinggul. Nak pakai salah satu atau dua pun boleh je. Tak perlu nak lilit, hanya dilekatkan dengan pelekat velcro sahaja. Memang mudah.

Harga untuk 1 set bengkung moden saya rasa dalam RM60 ke RM70. Bergantung kepada kualiti. Dan banyak jenis lain juga yang dikatakan sebagai bengkung moden sekarang.

Tapi saya guna yang 3 keping ini lah.

Boleh google untuk lihat pelbagai pilihan bengkung dan pilih yang mana sesuai.

Ibu yang bakal berpantang dah sedia ke dengan bengkung? Atau yang masih memilih dan belum beli, diharap perkongsian ini dapat membantu anda.

No comments:

Post a Comment