Friday 30 December 2016

Entri 3/30: Ikan Yang Sesuai untuk Ibu Berpantang

Teks: Hifzaila Hafni
Gambar: Google

Ikan merupakan sumber protein popular dan sangat baik diambil semasa berpantang. Selain protein, ikan juga mengandungi omega-3 dan DHA yang membantu perkembangan otak yang baik.

Namun begitu, hati-hati dalam memilih ikan untuk hidangan semasa pantang kerana terdapat ikan yang boleh memberi rasa gatal terutamanya pada kawasan luka bersalin.

Elakkan jenis ikan begini buat sementara waktu. Selain ikan yang menyebabkan gatal, ikan yang bersengat dan berbisa juga perlu dielakkan.

Berikut 12 jenis ikan yang boleh diambil sewaktu berpantang.

1. HARUAN


Ikan haruan terkenal sebagai ikan yang mampu bantu mempercepat luka. Ikan ini lebih baik diambil segar berbanding patinya yang sering diiklankan. Mengambil ikan segar lebih terjamin khasiatnya kerana dikhuatiri pati yang dikomersilkan mengandungi bahan lain sebagai campuran, yang mana boleh menyebabkan gangguan kepada proses pemulihan luka dengan baik.

Cadangan menu: Sup, rebus, bakar.

2. MERAH


Ikan merah antara ikan yang popular dan mudah didapati di pasar. Isinya manis dan sedap. Biasanya sudah siap dipotong keping dan dibeli segar di pasar.

Cadangan menu: Sup (paling dicadangkan), pindang, panggang.

3. TENGGIRI


Antara ikan yang mudah didapati juga di pasar. Tenggiri yang bersaiz besar biasanya akan siap dipotong dan dijual keping. Tenggiri bersaiz sederhana boleh dibeli seekor. Harga ikan tenggiri memang agak mahal sedikit, kalau ada bajet lebih, sebenarnya lebih berbaloi beli seekor.

Cadangan menu: Bakar, kari, singgang.

4. JENAHAK


Jenahak mempunyai isi yang manis. Sama seperti tenggiri dan merah, biasanya siap dipotong dan dijual kepingan.

Cadangan menu: Panggang, sup.

5. SALMON


Ikan berisi merah jambu ini mungkin biasa di bandar besar, kerana lebih mudah didapati di pasar besar. Cara memasak ikan salmon juga ringkas dan mudah kerana tidak memerlukan banyak bahan disebabkan rasanya yang tersendiri. Salmon juga enak dimakan dengan memanggangnya bersama garam dan lada hitam sahaja.

Cadangan menu: Panggang (paling dicadangkan), kari.

6. GELAMA


Gelama segar boleh dimasak berkuah. Atau sesekali menukar selera dengan gelama kering yang digoreng dengan bawang.

Cadangan menu: Masak asam/rendang asam, pindang.

7. KERISI

Seakan-akan ikan gelama berdasarkan fizikalnya. Untuk kepastian sebelum membeli, tanya dahulu dengan penjual ikan.

Cadangan menu: Digoreng, dibakar, kari, pindang.

8. BILIS


Pilihan popular ibu berpantang. Selain mudah disedia, ikan bilis juga memberi bekalan kalsium. Tapi hati-hati jangan terlalu banyak diambil kerana ikan bilis adalah masin (peringatan untuk ibu yang ada darah tinggi).

Cadangan menu: Ikan bilis goreng bersama halia dan lada hitam, kerabu ikan bilis dengan daun selom.

9. KURAU KERING


Seperti ikan bilis dan gelama kering, boleh diambil sesekali sebagai pembuka selera atau hidangan sampingan kerana kandungan garam yang tinggi, tidak digalakkan diambil secara kerap.

Cadangan menu: Dibakar, digoreng bersama halia dan lada hitam.

10. SENANGIN


Antara ikan yang sering digunakan dalam menu pantang. Sedap dimasak berkuah.

Cadangan menu: Pindang, kukus.

11. BAWAL PUTIH


Tak semua bawal boleh diambil semasa pantang. Bawal putih boleh, elakkan bawal hitam dikhuatiri gatal. Sebelum membeli, pastikan dengan penjual ikan dahulu jika kurang yakin. Tapi sebenarnya mudah sahaja untuk bezakan antara bawal putih dengan hitam berdasarkan warna ikan.

Cadangan menu: Kukus limau, panggang.

12. SELAR


Ikan yang mudah didapati di pasar dan begitu mudah juga untuk dikenali. Ikan selar mempunyai satu garisan kuning di sepanjang badannya. Terdapat dalam pelbagai saiz.

Cadangan menu: Bakar, goreng.

Semoga dengan panduan ringkas ini dapat membantu mereka yang membeli ikan untuk ibu berpantang.

No comments:

Post a Comment