Monday 26 December 2016

Entri 2/30: Perlukah Ibu Berpantang Pakai Param dan Pilis?

Teks: Hifzaila Hafni

Perlukah memakai param dan pilis semasa berpantang?

Param dan pilis merupakan antara item yang sangat sinonim dengan berpantang.

PARAM

1. Ialah campuran herba yang disapu ke seluruh badan untuk mengelakkan angin masuk dan memanaskan badan. Pemakaian param bertujuan untuk memberi kesegaran kepada badan, menjaga kecantikan luaran kulit.

2. Antara ramuan dalam param adalah beras yang direndam dicampur dengan cekur, jerangau, cendana, kulit limau purut, kulit rambai, halia, bawang putih, asam jawa dan kunyit. Biasanya param yang sudah siap dipek boleh didapati di kedai-kedai jamu.

3. Cara pemakaian param
- Masukkan seketul atau separuh param ke dalam bekas.
- Masukkan air dan larutkan param tersebut.
- Bancuhan param perlu sedikit cair untuk memudahkan disapu ke seluruh badan bermula daripada leher, bahu, tangan hingga ke kaki.
- Lebihan param boleh digunakan untuk seterusnya. Pastikan bancuhan param disimpan dalam bekas bertutup untuk elak param kering.

4. Kebaikan memakai param
- Menghalus dan melicinkan kulit.
- Elak badan masuk angin.
- Memastikan tubuh sentiasa hangat.
- Kurangkan rasa sejuk dan kebas.

PILIS

1. Ialah ramuan herba yang ditampal pada dahi.

2. Pilis dibuat daripada tepung beras, kunyit, buah kapulaga, sintok, kulit kayu manis, halba, kapur sirih dan air limau nipis. Biasanya terdapat pek tersedia di kedai jamu. Cuma perlu dibancuh dengan air sahaja.

3. Tujuan pemakaian pilis
- Elak pening
- Elak sakit di bahagian ubun
- Kurangkan sakit kepala
- Kurangkan pitam
- Elak angin merian (ibu yang sukar kawal emosi)

4. Cara pemakaian pilis
- Pilis dibancuh bersama sedikit air dan biarkan bancuhan sedikit pekat.
- Pes pilis kemudian disapu memanjang dan menutupi dahi (dari hujung kening kanan ke hujung kening kiri).
- Biarkan pilis mengering sendiri.

5. Kebaikan memakai pilis
- Segarkan mata dan elak darah putih naik ke kepala.
- Elak masalah rabun di usia muda.
- Kurangkan pitam dan tekanan darah rendah.
- Mencerah penglihatan.

Kini pemakaian param dan pilis sudah ada yang dimodenkan dengan menggantikannya dengan minyak panas, krim atau losyen.

Pemakaian param dan pilis tradisional mungkin tidak selesa bagi sesetengah orang kerana param dan pilis yang telah mengering di badan dan dahi boleh mengotorkan baju dan tilam. Atau memberi rasa kurang selesa juga bila berpeluh. Tak kurang juga ada yang kurang gemar baunya.

Apapun pilihan, pastikan badan disapu dengan sesuatu yang hangat kerana tubuh ibu lepas bersalin bersifat sejuk. Juga untuk mengelakkan badan masuk angin atau lebih teruk mengalami bentan.

Rujukan:
Berpantang Cara Alami (Karangkraf)

---

Pengalaman saya sendiri, saya pernah mencuba kedua-dua cara tradisional dan moden.

Semasa berpantang anak pertama, saya memang konsisten memakai param dan pilis dan tidak dinafikan badan terasa segar dan selesa. Bau herba daripada param dan pilis sedikit sebanyak membantu menenangkan dan memberikan semangat berpantang. Memang agak remeh untuk memakai tetapi kesannya baik pada tubuh.

Semasa berpantang anak kedua pula, saya memilih menggunakan minyak panas menggantikan param dan pilis. Minyak disapu ke seluruh badan juga. Mudah dan berbau harum tapi tak dapat menandingi param dan pilis.

Apapun pilihan cikpuan semua, terpulang mengikut keselesaan dan kesesuaian masing-masing.

No comments:

Post a Comment